FAN SSFC

Friday, May 27, 2011

SSFc Melaungkan Keyakinan!!!

Salam 1 Malaysia dan salam sukan buat semua follower's blog jpselsoccer. Diharap anda semua berada dalam keadaan ceria sentiasa. Semua sudah sedia maklum bahawa pasukan SSFc akan bertandang ke Ipoh, Perak pada hari Sabtu(esok) ini. Bukan sekadar lawatan semata-mata, tetapi mencari kemenangan pada perlawanan menentang JP Perak. Laporan telah disediakan :


SHAH ALAM, Selangor - Pasukan SSFc telah mengharungi beberapai siri perlawanan yang diadakan di luar kawasan Selangor dan SSFc masih mengekalkan rekod kemenangan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini. Oleh itu, pasukan SSFc akan cuba mempertahankan rekod bersih tersebut ketika bertemu pasukan JP Perak esok. Perlawanan yang dijangka diadakan pada sebelah petang itu, akan berlangsung di Stadium Batu Gajah, Perak. Ini bermakna, SSFc telah melalui perlawanan yang kedua di negeri yang sama tetapi berbeza tempat iaitu di Teluk Intan pada dua tahun yang lepas.

Penjaring terbanyak SSfc setakat ini, Ahmad Fais Misbah(gambar kanan) melaungkan keyakinan tinggi bahawa SSFc mampu mencatatkan kemenangan dan beliau yakin mampu merobek gawang pasukan JP Perak pada pertemuan esok. "Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, yang penting kemenangan mutlak milik pasukan tetapi kalau dapat menjaringkan gol, ianya satu bonus buat diri saya."Kata Ahmad Fais ketika ditemuramah baru-baru ini selepas sesi latihan SSFc.

Sementara itu, tonggak pertahanan yang juga ketua pasukan SSFc, Zulham Mansor(gambar kiri) yang kembali memperkuatkan jentera pertahanan SSFc juga memberi reaksi sama seperti Ahmad Fais."Kita perlu konsisten pada perlawanan esok, lakukan yang terbaik seterusnya mencipta kemenangan buat pasukan. Jangan melakukan terlalu banyak kesilapan-kesilapan mudah jika mahukan kemenangan."kata beliau lagi.

Walaupun tanpa kehadiran beberapa tonggak penting pasukan, SSFc masih yakin dan mampu memberikan persembahan bertenaga. Mungkin faktor kepenatan menjadi punca tetapi pemain harus bersiap sedia bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga mental. Lupakan seketika kegembiraan dan kepenatan kerana tumpuan penuh seratus peratus diperlukan dari pemain semua.

Bagi Talib Mansor, penyerang SSFc turut menaruh harapan tinggi melihat rakan-rakan sepasukan mencipta kemenangan esok. Beliau yang masih dibelenggu kecederaan lutut tidak beraksi untuk beberapa perlawanan bersama SSFc."Walaupun kita kekurangan pemain untuk menghadapi perlawanan esok, saya yakin bahawa SSFc dapat memberi impak yang besar seterusnya mencipta kemenangan. Doa saya sentiasa mengiringi perjuangan mereka."Kata Talib yang ditemu pada perlawanan menentang P.O Kajang baru-baru ini.

Walau apapun, sekalung penghargaan buat semua pemain SSFc di atas semangat juang yang tinggi serta komitmen yang jitu bagi membawa balik kemenangan pada pertemuan esok. Doa pengurusan serta penyokong sentiasa mendahului pemain. Hanya kekuatan dan tidak mengenal putus asa menjadi pembakar semangat buat pemain SSFc.
Akhir kata,

Majulah Sukan Untuk Negara Juga SSFc!!!





PENA JPsel


p/s :
Merindui padang bola setelah sekian lama tidak beraksi bersama rakan-rakan :)

No comments: